Heliza Helmi tinggalkan surat wasiat

PENYANYI kelahiran Akademi Fantasia musim kelima, Heliza Helmi mengakui masih aktif dalam bidang nyanyian meskipun ramai yang melihat tumpuan kerjayanya kini lebih terarah kepada bidang perniagaan selain kerja-kerja amal.

Terbaru Heliza tampil dengan album Doa, Zikir, Doa Selamat sekali gus membuktikan minatnya masih lagi dalam dunia nyanyian, cuma pendekatannya mungkin sedikit berbeza dengan rakanrakan seangkatannya dalam AF sebelum ini.

 

 

Heliza lebih cenderung menyanyikan lagu-lagu dakwah dan mempunyai mesej positif seiring peranannya dalam pelbagai program motivasi.

“Saya sentiasa mengingatkan diri, kalau boleh biarlah apa yang saya lakukan mampu memberi manfaat kepada orang lain tidak kira dalam bidang apa sekalipun.

“Jadi pendekatan serupa yang saya gunakan dalam bidang nyanyian, di mana saya mengharapkan mesej dalam persembahan atau nyanyian saya itu dapat memberi sesuatu yang positif kepada pendengar.

“Mungkin orang ingat saya dah tak menyanyi lagi apabila jarang membuat persembahan di TV atau pentas yang lebih bersifat komersial tapi saya masih menyanyi cuma kebanyakan persembahan saya berlangsung di majlis tertentu sahaja,” jelasnya.

Ditanya tidakkah dia berminat untuk menyertai program Gema Gegar Vaganza musim depan untuk mengubati rindu peminatnya yang mahukan dia muncul di pentas terbuka, Heliza belum membuat sebarang keputusan.

“Saya sukakan konsep program tersebut yang mengetengahkan lagu-lagu ketuhanan dan mempunyai mesej positif untuk dikongsi dengan orang ramai.

“Pada musim pertama, saya ada dijemput tapi ketika itu saya sedang dalam persediaan untuk menyertai misi ke Syria.

“Bagaimanapun, setakat ini saya tiada sebarang perancangan untuk menyertai program ini untuk musim terbaru kerana sedar komitmen yang terikat dengan pelbagai perkara lain,” akuinya jujur.

Bantu kanak-kanak pesakit jantung

Nama Heliza sememangnya sinonim dengan kerja-kerja amal bukan sahaja di dalam negara tetapi juga turut aktif dengan misi kemanusiaan di luar negara melibatkan negara bergolak.

Penyertaannya bukan hanya terhad kepada musim tertentu tetapi dilihat konsisten dan dilakukan secara berterusan dari masa ke semasa semenjak lebih enam tahun lalu.

 

 

“Penyertaan saya dalam aktiviti sebegini sebenarnya atas niat untuk membantu meringankan beban mereka yang terlibat dalam apa juga cara, sekali gus mengingatkan diri saya sendiri tentang erti syukur terhadap apa yang saya miliki.

“Bermula daripada situlah saya menjadi semakin dekat dengan aktiviti-aktiviti seumpama itu yang akhirnya menjadi vitamin kepada saya untuk mendapat kegembiraan dengan cara itu.

“Jadi walaupun ada ketika tiada misi yang dijalankan secara berkumpulan, saya masih juga mencari sesuatu untuk dilakukan sama ada bersama keluarga atau secara individu kerana ada semangat yang memanggil untuk berbuat begitu,” katanya yang sentiasa mendapat restu daripada kedua ibubapanya.

Bermula dengan misi ke Cambodia pada tahun 2010, sehingga kini Heliza telah terlibat dengan puluhan misi kemanusiaan di negara bergolak yang mendedahkan dirinya kepada pelbagai pengalaman dan ancaman.

Bagaimana ia sedikit pun tidak mendatangkan perasaan takut ataupun traumatik kepada dirinya, malah menjadi dia lebih kuat semangat.

“Sepanjang menyertai pelbagai misi kemanusiaan di negara-negara bergolak, macam-macam pengalaman yang dah kami lalui termasuklah hampir kehilangan nyawa apabila turut terdedah dengan ancaman peluru dan bom.

“Sebelum pergi lagi saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku, malah jujurnya saya mengharapkan untuk syahid di sana, namun ALLAH belum izinkan apabila kami sentiasa bernasib baik dalam setiap langkah yang diaturkan sepanjang misi dilakukan.

“Setiap kali sebelum berangkat menyertai misi terbabit, saya selalunya akan meninggalkan surat wasiat untuk keluarga di mana pelbagai pesanan yang saya tinggalkan buat mereka kerana sedar perjalanan saya ketika itu adalah one way ticket,” ujarnya yang berazam untuk terlibat dengan lebih banyak misi kemanusiaan pada 2018 nanti.

Dalam pada itu, Heliza tidak ketinggalan untuk turut memberi tumpuan kepada golongan yang memerlukan di tanah air menerusi pelbagai aktiviti amal yang dirancang.

Terbaru, penyanyi dan penceramah muda ini telah  melancarkan koleksi eksklusif pertama tudung Stella Collection di bawah jenamanya sendiri, HelizaGuzelHive.

Koleksi tudung yang menepati piawaian  syariah ini dihasilkan menerusi kolaborasinya bersama Guzelhive International semenjak lebih setahun yang lalu.

Tidak sekadar bermotifkan keuntungan perniagaan, sebahagian daripada hasil jualan  setiap koleksi ini akan disalurkan ke Tabung Myheart.

Menurut Heliza, ia merupakan kerjasama antara Yayasan My Prihatin dan Institut Jantung Negara Foundation (IJN) bagi membantu kanak-kanak pesakit jantung kronik daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Ideanya mudah, di mana selain mendapatkan koleksi tudung yang diminati, pembeli secara langsung turut membuat sumbangan ke Tabung Myheart kerana sebahagian daripada setiap hasil jualan koleksi ini akan disalurkan terus ke situ,”  kata Heliza di majlis pelancaran Stella Collection baru-baru ini.

Tidak meletakkan target tertentu untuk jualan koleksi ini, Heliza bagaimana pun mengharapkan agar orang ramai  semakin terbuka dengan konsep membeli sambil menyumbang ini.

“Jujurnya saya mengharapkan agar usaha dapat dilakukan secara berterusan dan dalam skala yang lebih besar lagi agar bukan hanya untuk pesakit jantung sahaja tetapi kalau boleh untuk pesakit dari kategori lain juga.

“Ini hanyalah langkah permulaan. Insya-ALLAH, mana tahu selepas ini akan ada usaha lain pula untuk menggerakkan matlamat yang sama bagi untuk membantu meringankan beban orang lain,” ujarnya.

© 2016. Hacipta Terpelihara KUMPULAN MEDIA KARANGKRAF.

Kredit:Sinar Harian

 

 

 

==========================================================

 

MEMBAKAR LEMAK DENGAN CARA MUDAH..LEPTOS

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *